oleh Maria Mahat

Bismillah ir-Rahman ir-Rahim

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Singapura. Jadi, kita harus menjalankan amanah untuk melestarikan dan memperkayakan Bahasa Melayu di kalangan anak-anak didikan kita di pra-sekolah.

Semasa saya kecil dahulu, saya memasuki tadika PAP selama setahun. Tadika PAP adalah tadika yang dikelolakan pemerintah Singapura. Di tadika tersebut hanya ada seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Jadi, murid-murid bangsa lain juga mengambil Bahasa Mandarin, dan menukar ke bahasa ibunda apabila di darjah 1. Saya mendapat tempat kedua di dalam kelas saya sebab saya hanya mendapat satu kesalahan dalam peperiksaan Mandarin, tetapi seorang kanak-kanak Cina mendapat tempat pertama kerana dia mendapat markah penuh.  Ini adalah pada tahun 1978.

Peredaran masa menunjukkan ramai anak-anak Singapura yang kurang fasih dan minat dalam pembelajaran Bahasa Ibunda. Mentelaah lagi, banyak pra-sekolah di Singapura tidak menawarkan Bahasa Melayu (BM). Jika ada, pengajaran Bahasa Melayu tidak dipentingkan, tidak mendapat perhatian yang sepatutnya, tidak sistematik dan masih ditakuk yang lama.

Saya akur bahawa guru-guru pra-sekolah mempunyai banyak cabaran. Antara cabaran-cabarannya ialah:

  • tidak ada kepentingan politikal mahupun komersil untuk mengadakan BM di pusat pra-sekolah sebelum ini
  • tidak ada tempat atau bilik khas untuk pembelajaran BM walaupun Bahasa Mandarin mempunyai tempat
  • tidak ada latihan khas guru untuk mengajar dalam BM
  • tidak diberikan bahan-bahan yang baik untuk pengajaran BM. Jika terpaksa mengajar BM, guru-guru hanya meminjam dari guru-guru Bahasa Inggeris atau hanya menterjemahkan ke Bahasa Melayu
  • tidak ada buku-buku dan bahan-bahan pengajaran yang autentik dan bersangkut-paut dengan budaya Melayu
  • tidak ada buku-buku dan bahan-bahan pengajaran yang berlatarbelakangkan persekitaran Singapura
  • guru kurang konfiden atau rasa terpaksa mengajar BM

Namun, satu perkembangan baru sudah berlaku dan sudah berkuatkuasa secara bertahap dan akan berkembang lagi pada tahun 2018. Pusat pendidikan pra-sekolah, terutama sekali pusat-pusat yang digelar pengendali utama (anchor operators) harus menawarkan BM untuk murid-murid Melayu di pra-sekolah mereka dari umur 2 tahun ke atas.

Saya juga telah ditugaskan untuk melatih guru-guru pra-sekolah untuk memahami dan mendalami Rangka Kerja Nurturing Early Learners (NEL) dalam Bahasa Melayu dan Panduan Guru NEL. Ini penting untuk mereka  mempunyai gambaran keseluruhan, visi, matlamat pembelajaran, prinsip panduan dan objektif yang teguh dan kuat untuk melakarkan pengajaran BM yang lebih sistematik, kreatif, dan inovatif.

Seperti yang ditukil seorang guru, “kita harus merasa bangga dan memperkasakan diri kita untuk anak-anak kita supaya tenaga kerja kita tidak perlu diimpot dari luar negara (seperti bahasa yang lain).”

Dalam masa yang sama, saya mengingatkan guru-guru bahawa BM adalah bahasa rasmi Singapura dan kita harus merasa teruja kerana dapat menjadi penggerak minda dan tunas pembelajaran kanak-kanak dalam BM pada peringkat awal lagi. Apatah lagi, perkara ini sudah mendapat perhatian pihak atasan, jadi ia hanya boleh berkembang dengan tujuan yang lebih baik dan mantap. Sebagai guru, kita harus terus mengadvokasikan untuk mendapat tempat/bilik khas, peruntukan dana untuk bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dan menaiktarafkan ilmu dan kemahiran kita.

Kepada guru yang sangat dahagakan ilmu dan pengetahuan, saya juga ingin berkongsi seberapa banyak yang saya mampu dan perlu untuk membantu guru-guru menjalankan tugas mereka dengan lebih baik.

Ungu Pen juga menyediakan banyak buku-buku, bahan-bahan pembelajaran dan artikel-artikel yang sesuai untuk para guru dan ibu-bapa merangsangkan anak-anak mereka.

Untuk buku-buku dan bahan-bahan pengajaran, sila singgah di sini.

Untuk bacaan artikel, anda boleh ke “Conversations on book cover (Picture Talk)” , “Maths is not just about counting” dan “Let’s discover the outdoors.”

Saya juga ada menyediakan kad imbas Bahasa Inggeris-Melayu dari “Ada Biji Saga Di Dalam Saku Kami!” secara percuma di sini dan sini.

Jika ada sebarang pertanyaan yang boleh saya bantu, sila emel ke mariamahat99@gmail.com

Jika perlukan buku dan bahan tertentu yang tidak ada di lelaman kami, sila emel ke info@ungupen.com. Kami bersedia untuk mendapatkannya dengan rangkaian kami yang luas di Singapura dan juga di luar negara.

Majulah Bahasa Melayu untuk anak bangsa!

NEl-edited2